Kuala Lumpur, Mac 10, 2026 - Untuk terus melindungi rakyat Malaysia daripada penipuan kewangan, Google telah memperkenalkan keperluan pensijilan baharu bagi pengiklan perkhidmatan kewangan yang menyasarkan Malaysia. Pengesahan perkhidmatan kewangan (Financial Services Verification, FSV) ini menambah lapisan keselamatan baharu kepada dasar produk dan perkhidmatan kewangan sedia ada dengan memastikan bahawa hanya penyedia perkhidmatan kewangan yang sah dan berlesen sahaja dapat menjangkau pengguna di Malaysia.
Langkah ini diperkenalkan pada saat yang kritikal di kala kes penipuan kewangan semakin berleluasa di Malaysia, dengan kerugian akibat penipuan kewangan mencecah RM2.77 billion pada tahun 2025 sahaja, menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Sebagai usaha untuk menangani isu ini, bermula 14 April 2026, pengiklan produk dan perkhidmatan kewangan terpilih akan dikehendaki melengkapkan proses pengesahan sebelum mereka boleh menyiarkan iklan di platform Google. Sebagai sebahagian daripada proses pengesahan tersebut, pengiklan perkhidmatan kewangan perlu membuktikan bahawa mereka diberi kuasa oleh pihak berkuasa Malaysia, seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (LFSA), serta telah melengkapkan program pengesahan pengiklan Google untuk mula mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka.
FSV memperkenalkan lapisan pertahanan berstruktur yang unik serta menyokong secara langsung usaha kerajaan dalam memerangi penipuan kewangan. Ia menguatkuasakan piawaian pelesenan tempatan pada peringkat pengiklanan, sekali gus menutup kelompangan yang sering dieksploitasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mendekati rakyat Malaysia secara berkesan. Inisiatif ini telah pun dilaksanakan di negara-negara lain seperti United Kingdom (UK), Singapura, dan Australia.
Implikasi kepada pengiklan yang perlu melengkapkan pengesahan:
Pengiklan boleh memohon pengesahan melalui rakan pematuhan kami, G2, bermula 10 Mac 2026, dan penguatkuasaan akan berkuat kuasa pada 14 April 2026.
Pengiklan yang menyediakan atau mempromosikan perkhidmatan kewangan dalam skop yang ditetapkan mesti melengkapkan proses pengesahan baharu ini dengan jayanya sebelum penguatkuasaan bermula untuk menyiarkan iklan perkhidmatan kewangan kepada pengguna di Malaysia. Ini merangkumi pengiklan perkhidmatan kewangan, serta pengiklan perkhidmatan bukan kewangan yang menyasarkan pengguna yang mencari perkhidmatan kewangan.
“Golongan penipu sentiasa mengubah taktik mereka untuk mengelak daripada dikesan. Itulah sebabnya kami memperkukuh sistem pertahanan kami bagi memastikan hanya penyedia perkhidmatan kewangan yang sah sahaja dapat menjangkau pengguna di Google. Melalui kerjasama dengan pihak berkuasa untuk menguatkuasakan pemeriksaan yang lebih ketat ini, kami dapat mendahului pihak yang tidak bertanggungjawab dan memberikan keyakinan yang lebih tinggi kepada rakyat Malaysia apabila berurusan dengan perkhidmatan kewangan dalam talian,” kata Ben King, Pengarah Urusan Negara, Google Malaysia.
“MCMC menyambut baik inisiatif Google ini kerana ia merupakan langkah kritikal dalam menghalang penipuan kewangan daripada menjangkau rakyat Malaysia. Menangani penipuan digital memerlukan pendekatan 'keseluruhan ekosistem' (whole-of-ecosystem), di mana platform teknologi, pengawal selia, dan orang awam semuanya memainkan peranan masing-masing. Memastikan kesahihan pengiklan kewangan adalah amat penting bagi matlamat kami untuk menjamin persekitaran digital yang selamat dan dipercayai untuk semua rakyat Malaysia,” kata Abdul Karim Fakir Ali, Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
FSV memperkukuh sistem pertahanan pelbagai lapisan Google, yang merangkumi dasar mengenai Pengesahan Identiti Pengiklan dan Penyiaran Iklan Terhad bagi kategori berisiko tinggi. Langkah-langkah ini dilengkapi dengan alat AI yang berorientasikan pengguna seperti Circle to Search dan Google Lens, yang membantu rakyat Malaysia mengesan potensi penipuan dalam masa nyata.
Ketahui lebih lanjut mengenai Pengesahan Perkhidmatan Kewangan di sini.