Selasa, 15 November 2022

Bagaimana kami menyokong pilihan raya umum Malaysia yang akan datang

Dalam minggu-minggu akan datang, rakyat Malaysia akan keluar mengundi dalam pilihan raya umum ke-15 negara. Untuk menyokong proses demokrasi ini, kami komited untuk membantu rakyat Malaysia mengambil bahagian dan kekal bermaklumat, melindungi integriti pilihan raya dan menyokong organisasi berita dengan alat-alat untuk pelaporan pilihan raya.

Memberikan para pengundi maklumat yang mereka perlukan

Menjelang pilihan raya tersebut, kami tahu bahawa rakyat Malaysia memerlukan maklumat yang membantu dan relevan untuk membantu mereka mengemudi proses pilihan raya. Kami telah bekerjasama dengan badan bukan kerajaan Undi18 untuk melancarkan sebuah tapak sehenti yang dipanggil Undi Negaraku di undinegaraku.org. Ia adalah platform pendidikan pengundi dalam talian di mana individu dapat mencari sumber-sumber untuk mengambil bahagian dalam proses demokrasi pilihan raya. Dengan lebih 5 juta pengundi kali pertama di Malaysia pada tahun ini, kami mahu melakukan bahagian kami untuk membantu mereka mendapat akses kepada maklumat yang boleh dipercayai dan berguna semasa mereka mengemudi pilihan raya pertama mereka. Dengan penembusan internet yang begitu tinggi di kalangan pengundi muda, mereka barangkali akan merujuk sumber dalam talian untuk mencari maklumat tentang siapa yang hendak diundi.

Bekerjasama dengan industri berita untuk melindungi maklumat pilihan raya dalam talian

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), melalui Pusat Penyelidikan Media & Komunikasi, Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, telah melancarkan JOMCHECK MALAYSIA (JOMCHECK), kerjasama semakan fakta pertama negara yang dilancarkan untuk mengekang maklumat salah berkaitan pilihan raya, disokong oleh Google News Initiative.

Ia merupakan perikatan akademi-media-masyarakat sivil yang pertama seumpamanya di Malaysia, menghimpunkan pelbagai sektor dalam usaha memerangi maklumat salah. Walaupun ahli akademik dan media boleh berganding bahu dalam membantu pemeriksaan fakta, masyarakat awam boleh membantu menyebarkan kesedaran tentang maklumat yang tepat. Usaha ini memerlukan rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat untuk mewujudkan masyarakat bermaklumat yang lebih baik.

Ia merupakan tambahan kepada Siri Bengkel Pilihan Raya Malaysia yang dianjurkan oleh UKM yang bertujuan untuk memperkasa wartawan Malaysia dengan pengetahuan dan alat untuk pelaporan pilihan raya yang berkesan, disokong oleh Google News Initiative. Lebih daripada 260 wartawan telah mengambil bahagian dalam sesi latihan ini yang diketuai oleh pakar industri. Di tapak web kami, para wartawan boleh mengakses bengkel pengesahan digital percuma, dan melengkapkan diri mereka dengan pelbagai alat dan teknik untuk membuat liputan pilihan raya. Untuk menonton ulang tayang bengkel, klik di sini.

Kami juga sedang bekerjasama dengan para wartawan dan penerbit berita untuk memelihara keselamatan platform dalam talian yang mereka gunakan. Program Perlindungan Lanjutan, tahap keselamatan akaun kami yang paling kukuh untuk mereka yang memerlukannya, tersedia secara percuma kepada mereka. Begitu juga dengan Project Shield, perkhidmatan percuma yang menggunakan teknologi Google untuk melindungi tapak berita daripada erangan penafian perkhidmatan teragih (DDoS) di web. Anda boleh membaca lebih lanjut mengenai Project Shield di sini.

Untuk memudahkan para wartawan mencari data Search dan trend untuk cerita mereka, Google telah melancarkan halaman pilihan raya umum Google Trends Malaysia, sebuah alat yang memaparkan pertanyaan dan topik teratas. Meskipun halaman ini bukan sebuah halaman tinjauan, dan ia tidak mencerminkan niat para pengundi, ia menawarkan cerapan berkaitan topik dan individu tertentu yang dicari orang ramai di Google sepanjang tempoh pilihan raya.

Menangani maklumat salah pada platform-platform Google

Menerusi dasar Google Ad dan Garis Panduan Komuniti YouTube, kami membantu memastikan agar semua orang memahami amalan terbaik digital dan tanggungjawab mereka semasa pilihan raya. Kami mempunyai dasar berkaitan maklumat salah - termasuk maklumat salah pilihan raya, maklumat salah perubatan COVID-19 dan maklumat salah vaksin - di kesemua platform kami. Untuk lebih banyak petua tentang pengesahan maklumat dalam talian, baca catatan blog kami di sini.

Di YouTube, kami telah banyak melabur dalam sebuah rangka kerja yang kami panggil 4Rs of Responsibility sepanjang lima tahun yang lalu. Dengan bantuan pembelajaran mesin dan pengulas terlatih, kami mengalih keluar kandungan yang melanggar garis panduan kami tepat pada masanya, menampilkan sumber berwibawa dan mengurangkan penyebaran kandungan bermasalah. Anda boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang pendekatan YouTube terhadap maklumat salah di sini atau membaca lebih lanjut daripada Neal Mohan, Ketua Pegawai Produk, YouTube, tentang perkara seterusnya dalam usaha maklumat salah kami di sini.

Orang ramai boleh melaporkan kandungan yang mereka percaya melanggar dasar kami, termasuk mengenai pengiklanan dan maklumat salah di sini. Aduan undang-undang hendaklah dibuat di g.co/legal.

Kami sentiasa memikirkan tentang proses pilihan raya dan cara kami boleh meningkatkan sokongan kami terhadap proses demokrasi di seluruh dunia, termasuk membantu menghubungkan orang ramai kepada maklumat berkaitan pilihan raya yang berguna dan berkaitan serta berusaha untuk melindungi maklumat pilihan raya dalam talian.