Oleh Laura Mae Martin, Penasihat Produktiviti Eksekutif, Google
Dalam kerja saya di Google, saya menawarkan nasihat tentang cara-cara untuk menggunakan masa dengan secekap yang mungkin. Semasa bekerja dari rumah, strategi produktiviti saya adalah lebih penting kerana saya tidak mempunyai struktur bekerja yang biasa, seperti berulang-alik ke tempat kerja, berjalan ke mesyuarat, atau bertembung dengan rakan-rakan sekerja. Apabila rumah anda bertukar menjadi sebuah pejabat, anda perlu pelajari rutin serba-baru.
Ia sudah menjadi kebiasaan di Google untuk terus bekerja walaupun ketika rakan sepasukan anda tidak berada secara fizikal bersama anda (sebenarnya, 39 peratus mesyuarat di Google melibatkan kakitangan dari sekurang-kurangnya dua bandar). Tetapi ia mungkin bukan untuk semua orang, dana ramai di seluruh dunia kini mendapati diri mereka dalam situasi pekerjaan yang baru. Jadi saya telah menghimpunkan beberapa tip-tip produktiviti saya - tak kira di mana anda bekerja - dan beberapa perkara yang telah saya pelajari tentang bekerja dari rumah.
Tentukan “tempat” anda bekerja (dan di mana anda tidak bekerja)
Memang mudah untuk mula bekerja dari meja dapur atau di atas sofa anda. Tetapi sebuah bilik, tempat, meja atau kerusi yang menjadi “lokasi” anda secara konsisten setiap hari membantu otak anda mengaitkannya (bau, visual, dan bunyi) dengan bekerja. Letakkan beberapa benda di meja anda, seperti gambar kawan-kawan atau keluarga. Dapatkan pad tetikus baru. Himpunkan snek-snek kegemaran anda di atas sebuah rak kecil. Dan sama pentingnya dengan menentukan “tempat kerja” anda adalah menentukan di mana anda tidak bekerja. Mungkin anda tidak mahu langsung membawa komputer anda ke tingkat atas atau ke dalam bilik tidur. Ini akan membantu membentuk jarak mental dan membolehkan anda untuk berehat dengan lebih kerap walaupun kerja anda berada di rumah.
Gunakan Hangouts Meet bagai seorang pakar.
Anda mungkin akan meluangkan lebih banyak masa membuat panggilan video - untuk kami, ia adalah Hangouts Meet. Ini adalah beberapa tip untuk menggunakan Meet di rumah: rendahkan kualiti video anda apabila anda mengalami sekatan atau kelewatan jalur lebar, dail masuk ke dalam panggilan video tapi dapatkan audio menerusi telefon anda, dan gunakan kapsyen dalam mesyuarat anda agar semua yang hadir dapat mengikutinya. Jika anda perlukan interaksi (maya) bersama seseorang, adakan panggilan video tanpa sebarang agenda bersama pasukan atau rakan-rakan di dalam pejabat - ia bukannya mesyuarat formal, cuma masa untuk bersembang dan mengikuti perkembangan masing-masing.
Amalkan “pekerjaan satu tab.”
Jika anda tidak mempunyai monitor besar atau skrin yang biasa anda gunakan di rumah, ia lebih penting untuk menumpukan perhatian pada satu tab Chrome dalam satu-satu masa. Jika anda sedang membuat panggilan video dari komputer riba anda, tutupkan tab-tab lain dan berikan perhatian pada perbualan tersebut - sama seperti menyimpan telefon atau menutup komputer riba anda di dalam mesyuarat agar anda kekal fokus.
Bertindak bagaikan bekerja.
Lawan rasa untuk bangun dari tidur dan mula bekerja dari katil anda - ia tidak membantu otak untuk mendapatkan “mood” yang produktif. Kekalkan rutin biasa anda seperti bangun dari tidur, mengenakan pakaian, makan sarapan, kemudian “pergi” ke ruang kerja baru anda. Memang selesa untuk kekal dalam baju tidur anda, tetapi ia akan membuat anda rasa bagaikan ia bukan hari kerja lalu lebih susah untuk anda menyiapkan sesuatu.
Bermain-main dengan jadual dan tenaga anda.
Apa yang bagus tentang bekerja dari rumah? Tiada perjalanan ulang-alik. Gunakan peluang ini untuk bereksperimen dengan jadual alternatif dan cari “waktu perdana biologi” anda. Jika anda orang pagi, cuba bangun dari tidur dan bekerja sedikit sebelum berehat sebentar pada pertengahan pagi. Jika anda seorang burung hantu malam yang suka tidur sedikit lewat, ubah jadual anda untuk menyiapkan lebih banyak kerja pada lewat tengah hari ketika waktu perjalanan pulang biasa anda. Produktiviti bukan hanya tentang apa yang anda lakukan, tetapi lebih penting adalah bila anda melakukannya.
Bekerja dari rumah tidak bermakna berkerja setiap masa.
Salah satu perkara paling sukar tentang bekerja dari rumah adalah menetapkan sempadan. Tinggalkan komputer anda di ruang kerja dan hanya kerja ketika anda di ruang tersebut. Tetapkan masa “tutup kedai” dengan menetapkan waktu bekerja di Google Calendar untuk mengingatkan semua tentang ketersediaan anda. Rehatkan minda anda sepertimana yang anda lakukan di pejabat - sepertimana anda berjalan ke mesyuarat, berjalan sebentar di luar atau hubungi seorang rakan.
Buat senarai perkara yang hendak dibuat sehari sebelumnya.
Sebahagian dari cara untuk kekal fokus dan menetapkan jadual bekerja dari rumah adalah untuk menyenaraikan apa yang perlu anda lakukan dalam sesuatu hari. Saya telah menghasilkan sebuah templat pelan harian (anda boleh gunakannya juga!) yang membantu saya mencipta pelan bagi setiap jam tentang apa yang ingin saya lakukan. Jika anda mengisinya di sebelah malam, anda akan bangun keesokan harinya dengan pemahaman tentang apa yang perlu dilakukan pada hari tersebut.
Siapkan sesuatu yang sudah lama anda patut siapkan.
Bekerja di pejabat boleh menjadi sesuatu yang berterusan dan jarang meluangkan masa untuk anda menyiapkan kerja lain. Bekerja dari rumah merupakan peluang untuk anda menyiapkan perkara persendirian anda - selesaikan perbelanjaan tersebut, fikirkan idea untuk projek jangka panjang itu atau baca artikel yang telah anda simpan buat sekian lama. Hasilkan sebuah senarai berterusan menggunakan Google Keep dan rujuk padanya setiap kali anda ada masa terluang.
Jangan terlalu tegas pada diri anda (dan orang lain)
Sesetengah orang hanya mempunyai satu apartmen studio dan menghabiskan masa mereka di sana. Ada yang mempunyai pasangan yang turut bekerja dari rumah, anak-anak di rumah, ataupun haiwan peliharaan di rumah (saya ada tiga ekor anjing!). Hubungan mungkin lebih perlahan dari kebiasaan dan mungkin ada bunyi nyalakan di latar belakang, tetapi ingat bahawa semua orang sedang melakukan yang terbaik untuk bekerja dari rumah.