Oleh Andrew Ahn, Pengurus Produk, Google Play + Android App Safety
Google Play menghubungkan para pengguna kepada pengalaman digital hebat untuk membantu mereka menjadi lebih produktif dan terhibur, di samping menawarkan para pembangun aplikasi dengan peralatan untuk mencapai berbilion pengguna di seluruh dunia. Ekosistem yang berkembang maju sebegini hanya dapat dicapai dan diteruskan apabila kepercayaan dan keselamatan merupakan salah satu batu asasnya. Dalam beberapa tahun yang lepas, kami telah menjadikan kepercayaan dan keselamatan Google Play keutamaan kami, dan telah terus melabur dan menambah-baik sistem-sistem pengesanan penyalahgunaan, polisi, dan pasukan-pasukan kami untuk membasmi aplikasi tidak baik dan individu berniat jahat.
Pada 2019, kami telah teruskan usaha untuk mengukuhkan polisi-polisi kami (terutamanya untuk melindungi kanak-kanak dan keluarga dengan lebih baik), memperkukuhkan proses kelulusan pembangun kami, memulakan kolaborasi yang lebih mendalam bersama rakan-rakan industri keselamatan menerusi App Defense Alliance, meningkatkan sistem-sistem pengesanan berasaskan pembelajaran mesin kami yang menganalis kod, metadata dan signal penglibatan pengguna bagi sesebuah aplikasi untuk sebarang tingkah laku atau kandungan yang mencurigakan, di samping menyekalakan bilangan dan kualiti ulasan manual. Gabungan usaha-usaha ini telah menghasilkan sebuah Play Store yang lebih bersih:
Google Play mengumumkan sebuah polisi baru pada 2018 untuk menghalang aplikasi dari mengakses data SMS dan Log Panggilan peribadi jika tidak perlu. Kami memperhatikan pengurangan mendadak sebanyak 98% dalam bilangan aplikasi yang mengakses data SMS dan Log Panggilan setelah para pembangun bekerjasama dengan kami untuk mengemaskini aplikasi mereka dan melindungi pengguna. Baki 2% terdiri daripada aplikasi yang memerlukan data SMS dan Log Panggilan untuk menjalankan fungsi utama mereka.
Salah satu cara terbaik untuk melindungi pengguna dari aplikasi tidak baik adalah untuk tidak membenarkan aplikasi tersebut ke dalam Play Store dari awal. Mekanisme pemeriksaan kami yang telah ditambah baik berjaya memberhentikan lebih dari 790,000 penyertaan aplikasi yang melanggar polisi sebelum mereka diterbitkan ke Play Store.
Begitu juga dengan polisi SMS dan Log Panggilan kami, kami juga telah menggubal sebuah polisi pada Mei 2019 untuk melindungi keluarga dengan lebih baik. Selepas memperkenalkan polisi tersebut, kami bekerjasama dengan para pembangun untuk mengemaskini atau memadam puluhan ribu aplikasi, menjadikan Play Store lebih selamat untuk semua.
Di samping itu, kami telah melancarkan pengalaman Google Play Protect yang baru, perlindungan perisian perosak yang terbina ke dalam peranti Android. Google Play Protect mengimbas lebih dari 100B aplikasi setiap hari, memberi pengguna maklumat tentang kemungkinan isu keselamatan dan langkah-langkah yang boleh diambil untuk memastikan peranti mereka selamat dan terlindung. Google Play Protect juga telah menyekat lebih dari 1.9B pemasangan perisian perosak dari sumber-sumber bukan Google Play.
Walaupun kami berbangga dengan pencapaian kami bersama komuniti pembangun, kami tahu masih banyak lagi yang perlu dilakukan. Individu berniat jahat akan terus mencari cara baru untuk mengelak sistem-sistem pengesanan kami dan membahayakan para pengguna demi keuntungan sendiri. Komitmen kami untuk membina pelantar aplikasi yang terselamat dan paling bermanfaat di dunia akan diteruskan pada 2020, dan kami akan terus menumpukan perhatian kepada bahagian keselamatan aplikasi penting yang disebut dalam blog kami pada tahun lepas:
Memperkukuhkan polisi-polisi keselamatan aplikasi untuk melindungi privasi pengguna
Mengesan dengan lebih pantas individu berniat jahat dan menghalang pesalah berulang
Mengesan dan membuang aplikasi dengan kandungan dan tingkah laku yang berbahaya
Kumpulan pengurus produk, jurutera, pakar polisi dan ketua operasi kami akan terus bekerjasama dengan komuniti pembangun untuk mempercepatkan kadar inovasi, dan menawarkan sebuah stor aplikasi yang lebih selamat buat berbilion pengguna Android di seluruh dunia.