Perangkaan dasar berkenaan maklumat perubatan yang salah mempunyai cabaran dan tarik-ulurnya yang tersendiri. Pemahaman saintifik terus berkembang seiring dengan kemunculan penyelidikan baharu, dan pengalaman peribadi sering kali memainkan peranan penting dalam wacana dalam talian. Vaksin secara khususnya telah di debat dengan sengit buat bertahun-tahun lamanya, walaupun dengan adanya bimbingan berterusan daripada pihak kesihatan mengenai keberkesanannya. Hari ini, kami mengembangkan dasar penyebaran maklumat perubatan salah kami di YouTube dengan garis panduan baharu mengenai vaksin yang telah diluluskan untuk pemberian kepada umum dan disahkan selamat serta berkesan oleh pihak berkuasa kesihatan tempatan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Garis Panduan Komuniti kami yang sedia ada sudah pun melarang penyebaran beberapa jenis penyebaran maklumat perubatan yang salah. Kami telah lama membuang kandungan yang mempromosikan perubatan yang berbahaya, contohnya seperti kandungan yang mengatakan bahawa turpentin yang diminum dapat menyembuhkan penyakit. Pada permulaan COVID-19, kami telah mengukuhkan lagi dasar-dasar ini ketika wabak melanda, dan bekerjasama dengan pakar untuk mengembangkan 10 dasar baharu mengenai
COVID-19 dan penyebaran maklumat perubatan salah. Sejak tahun lalu, kami telah membuang lebih daripada 130,000 video yang didapati melanggar dasar vaksin COVID-19 kami.
Sepanjang usaha ini, kami telah mempelajari kepentingan merancang dan menguatkuasakan dasar penyebaran maklumat perubatan salah pada skala besar. Bekerja rapat dengan pihak berkuasa kesihatan, kami berusaha untuk mengimbangi komitmen kami ke arah menyediakan sebuah pelantar terbuka dengan keperluan untuk membuang kandungan yang benar-benar memudaratkan. Kami telah kerap melihat bagaimana dakwaan palsu mengenai vaksin coronavirus bertukar menjadi maklumat salah mengenai vaksin secara umum. Kini lebih daripada sebelumnya, ia lebih mustahak untuk kami memperluaskan kerja yang telah dimulakan dengan COVID-19 kepada vaksin-vaksin lain.
Secara khususnya, kandungan yang mendakwa bahawa vaksin yang telah diluluskan adalah berbahaya dan menyebabkan kesan kesihatan kronik, bahawa vaksin tidak mengurangkan penularan atau jangkitan penyakit, atau mengandungi maklumat salah mengenai kandungan vaksin, akan dibuang. Ini termasuk kandungan yang mendakwa bahawa vaksin yang diluluskan menyebabkan autisme, barah atau kemandulan, atau bahawa bahan yang terkandung dalam vaksin dapat menjejaki mereka yang menerimanya. Dasar-dasar kami tidak hanya merangkumi imunisasi rutin tertentu seperti demam campak atau Hepatitis B, tetapi juga pernyataan umum mengenai vaksin.
Sepertimana yang telah dilakukan untuk garis panduan COVID kami, kami telah merujuk kepada organisasi kesihatan tempatan dan antarabangsa serta para pakar dalam pembentukan dasar ini. Sebagai contoh, panduan baharu kami mengenai kesan sampingan vaksin merujuk kembali kepada sumber vaksin awam yang disediakan oleh pihak berkuasa kesihatan dan disokong oleh konsensus perubatan. Perubahan dasar ini telah pun berkuatkuasa, dan seperti kemaskini utama yang lain, sistem kami akan mengambil masa untuk menguatkuasakan dasar tersebut sepenuhnya.
Terdapat pengecualian penting bagi garis panduan baharu kami ini. Memandangkan pentingnya perbincangan dan perbahasan awam terhadap proses saintifik, kami akan terus membenarkan kandungan mengenai dasar vaksin, percubaan vaksin baru, serta sejarah kejayaan atau kegagalan vaksin di YouTube. Perakuan peribadi yang berkaitan dengan vaksin juga akan dibenarkan, selagi video tersebut tidak melanggar Garis Panduan Komuniti yang lain, atau saluran tersebut tidak menunjukkan corak mempromosikan keraguan vaksin.
Kemas kini dasar ini adalah langkah penting untuk menangani penyebaran maklumat vaksin dan kesihatan yang salah di pelantar kami, dan kami akan terus melabur secara menyeluruh ke dalam dasar dan produk yang membawa maklumat berkualiti tinggi kepada penonton kami dan seluruh komuniti YouTube.